Saturday, April 30, 2011

Berita ATBA

Seramai 21 orang calon telah berjaya lulus dalam ujian Arabic Placement Test (APT) yang diadakan oleh pihak pengurusan Akademi Tahfiz & Bahasa Al-Quran (ATBA) pada 27 Mac lalu. Pengetuanya, Tuan Haji Abd Rahman Tan Idris berkata, kesemua jumlah pelajar yang lulus itu telah dipindahkan kelas daripada level satu ke level dua” katanya.

“Pencapaian anak-anak dapat dinilai bila kita adakan ujian sebegini. Manakala pelajar yang lebih advanced dalam pelajaran mereka kita asingkan supaya mereka berpeluang menduduki tahap yang lebih mencabar bagi mereka.” Katanya lagi. Beliau mengulas demikian selepas menyampaikan sijil kepada 21 orang pelajar yang yang telah lulus dalam ujian Bahasa Arab baru-baru ini.

Antara mereka yang berjaya menjejak kaki ke tahap dua ialah Amir Ariff Mohd Nazri, Farah binti Zulkifli, Aisya Nurbalkhis Ramli, Alhana Syifa Ahmad Shyazli, Hannan Syakir Hamzah, Danial Hakim Ab Talip, Sabrina Husniyyah Abd Halim, Raja Jazmeen Rashidah, Ali Imran bin Ramli, Nadiah binti Zulkifli, Muhd Aiman Yusof, Sakinah Abdul Halim, Amira Atiqah Mohd Nazri, Imran Arif Azman, Azmi Zulkifli, Muhd Zikri Arif, Mohd Salman Fikri Mohd Nordin, Mohd Nur Iman Azri, Abdillah Shamil Ahmad Shukri, Arif Shamil Abd Hissham,dan Wan Muhd Atiq Ahmad Tajuddin.

Pihak editor “Kalam Masjid” juga sempat mendapatkan komen guru yang bertanggungjawab mengendalikan Arabic Placement Test (APT) iaitu Ustaz Muhammad Hafizuddin Ghani. “Dengan mendedahkan kepada para pelajar sistem pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan seperti ini berjaya memupuk semangat mereka untuk mendalami subjek ini. Mungkin sebelum ini sebahagian daripada mereka tidak pernah terfikir untuk belajar bahasa arab, atau sebahagian mereka menganggap subjek ini adalah suatu subjek yang membosankan. Namun dengan pendekatan yang diambil ini, mampu mencabar semangat mereka untuk bersaing sesama mereka sendiri,” katanya kepada editor Kalam Masjid di Pusat Sumber MAM, di sini.

Beliau yang sedang menuntut di peringkat sarjana bidang Quran Sunah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini berkhidmat sebagai guru Tahfiz dan Bahasa Arab di Akademi Tahfiz & Bahasa Al-Quran (ATBA) setiap hujung minggu. Dalam suasana pembelajaran bahasa arab di ATBA sebelum ini, beliau dapat merasakan bahawa terdapat perbezaan tahap penguasaan yang ketara di kalangan pelajar sekelas. Ini sedikit sebanyak menyukarkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran dalam suatu tahap, katanya lagi.

Ditanya mengenai penguasaan para pelajar dalam subjek tahfiz al-quran, secara umumnya beliau setakat ini memuji kesungguhan para pelajar berusaha menambah kuantiti hafazan mereka di samping memperelokkan lagi mutu bacaan. “Kalau boleh para ibu bapa turut menggesa anak mereka menghafaz di rumah dan hidupkan budaya membaca quran di rumah,” katanya.

Nota: Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang telah Berjaya lulus tahap satu dalam Arabic Placement Test (APT) yang lepas. Bagi yang rasa diri anda kurang berjaya, jangan mudah berputusa asa kerana perjalanan anda masih jauh dan lebih mencabar selepas ini.

No comments:

Post a Comment